LONDON, 7 Feb – Universiti Putra Malaysia (UPM) jalin kerjasama dengan Sekretariat Komanwel United Kingdom dan Universiti London bagi mengambil peluang menubuhkan Kursi UPM yang akan menempatkan sarjana UPM di institusi berkenaan menerusi Surat Niat (LoI) yang ditandatangani bersama semalam di United Kingdom.
Inisiatif ini adalah bertujuan penyelarasan program merangkumi aktiviti penyelidikan bersama, penawaran program akademik serta mobiliti pelajar dan staf antara institusi UPM, Sekretariat Komanwel United Kingdom dan Universiti London.
LoI tersebut ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dan Ketua Pembangunan Dasar Sosial Sekretariat Komanwel London, Layne Robinson serta Professor Mary Stiasny, Pro Vice-Chancellor Pembelajaran dan Pengajaran, Universiti London.
Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata menerusi LoI ini dapat membangunkan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan yang akan menyumbang kepada pembangunan dan peningkatan hubungan antara kedua-dua pihak.
LoI ini merupakan antara usaha UPM untuk meningkatkan jalinan kerjasama dan promosi dengan bakal pelajar bersama agensi kerajaan luar selaras Matlamat 1, Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.
Turut hadir Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) UPM, Prof. Madya Dr. Siti Raba’ah Hamzah, Pensyarah Jabatan Pemajuan Profesional Dan Pendidikan Lanjutan FPP, Prof. Dr. Abdul Lateef Abdullah@Steven Eric Krauss, dan Dr. Siti Nur Syuhada Musa. -UPM