Oleh: Aishah Hisamuddin
KUALA LUMPUR, 15 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi enam pingat emas, dua perak dan satu gangsa pada 32nd International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2021 yang diadakan secara hibrid di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 13 dan 14 Disember.
Pingat emas itu dimenangi Prof. Dr. Lim Hong Ngee dari Fakulti Sains melalui inovasi Grafin Tok™; Prof. Dr. Syafinaz Amin Nordin (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan) Putra Amazing Agar; Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam (Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi) Giant Dice Techniques remuneration; Prof. Dr. Osumanu Haruna Ahmed (UPM Kampus Bintulu) Promising Crop Yields from Productive Soil; Ts. Dr. Mohd Salahuddin Mohd Basri (Fakulti Kejuruteraan) GeoCoat-A Novel Fire Retardant Coating Based on Agricultural Waste; dan Dr. Fadhil Syukri (Fakulti Pertanian) FS Feed for Life Food Replacement in Aquaculture Industry.
Grafin Tok™ adalah inovasi yang menggunakan grafin sebagai komponen utama dalam menghasilkan minyak enjin, yang meningkatkan kecekapan enjin dengan mengurangkan pelepasan HC, CO & NO yang ketara sebanyak 90%.
Ia juga berkeupayaan menghidupkan semula enjin dengan pengurangan bunyi dan getaran 10% lebih hebat untuk pemanduan lebih lancar dan senyap.
ITEX adalah pameran rekacipta dan inovasi berprestij antarabangsa yang diadakan secara tahunan, anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan C.I.S yang menyediakan platform dan pasaran untuk idea dan inovasi terkini di peringkat global.
ITEX 2021 bertemakan penciptaan semula dan memberi tumpuan kepada isu semasa pandemik COVID-19 yang dihadapi oleh masyarakat dan ekonomi negara dunia.
Lebih 500 inovasi dari 15 buah negara termasuk Jepun, Taiwan dan Thailand menyertai ITEX 2021.
UPM mempamerkan inovasi dan teknologi dalam bidang meliputi pertanian, perubatan, sains kesihatan, kejuruteraan, sains sosial dan bioteknologi.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari yang hadir pada Malam Budaya Cipta ITEX 2021 berkata, UPM meneruskan tradisi kecemerlangannya dengan memenangi pingat bagi kesemua sembilan inovasi yang dipertandingkan.
"Kami amat teruja dengan hasil cemerlang penyelidik UPM. Kita sentiasa komited dalam membangunkan lebih banyak inovasi cemerlang dan teknologi terkini yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan negara sekali gus meningkatkan kedudukan UPM di peringkat global," katanya. - UPM