Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Marina Ismail
SERDANG, 19 Feb – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengadakan Program Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mewujudkan jaringan kerjasama di antara Universiti Awam (UA) dengan Kerajaan Negeri.
Beliau berharap program itu dapat dimanfaatkan untuk membantu serta memperkasakan anak negeri Selangor daripada aspek kebajikan, kebolehpasaran, daya kepimpinan dan penglibatan dalam aktiviti kesukarelaan.
“Inisiatif Kerajaan Negeri memberi bimbingan kerjaya dan penerangan berkaitan pembiayaan kewangan, adalah usaha dalam menterjemah komitmen Kerajaan Negeri dalam memacu hala tuju pendidikan,” katanya.
Amirudin merupakan alumni UPM tahun 2003 serta Pendebat Pasukan Utama Universiti dari 2000 hingga 2002.
Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata, sebagai UA di Selangor, UPM menyokong usaha Kerajaan Negeri melaksanakan penambahbaikan serta pembangunan untuk kemajuan dalam bidang pendidikan.
“UPM sentiasa menyambut baik jalinan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dan berharap dapat bergerak seiring terutamanya dengan matlamat dalam hala tuju pendidikan,” katanya. - UPM