Oleh Siti Nur Amanina Nazri
SERDANG, 27 Sept – Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), Unversiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program UPM@Desa Serdang Digital Knowledge bagi memberikan pendidikan awal perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi di peringkat sekolah menengah dan universiti selaras dengan falsafah 5.0.
Program itu adalah program jaringan komuniti antara SPS, UPM dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Serdang.
Menteri berkenaan, Gobin Singh Deo berkata penggunaan teknologi bukan sahaja memainkan peranan dalam komunikasi malah ekonomi, dan boleh mengubah corak hidup serta interaksi seluruh dunia.
“Dengan kemajuan teknologi pada era digital ini, negara kita setara dengan negara membangun lain khususnya dalam sektor ekonomi seterusnya dapat membudayakan pelajar dalam arus perkembangan ICT terkini melalui Revolusi Perindustrian (IR4.0),” katanya.
Beliau mahu masyarakat menyemak kesahihan maklumat yang diterima dengan melayari laman ‘Sebenarnya.my’ iaitu pusat sehenti yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Dekan SPS, UPM, Prof. Dr. Robiah Yunus berkata harapan beliau agar program itu akan menjadi pencetus kepada usaha yang lebih sistematik serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan ilmu pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi di semua peringkat.
“Pelbagai teknologi baharu akan membantu meningkatkan kefahaman terhadap maklumat yang boleh disampaikan serta meningkatkan pengetahuan dan literasi pelajar sekolah mahupun di peringkat universiti,” katanya.
Program UPM @ Desa Serdang Digital Knowledge itu mendapat kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE), Persatuan Pelajar Antarabangsa (UPMISA), Majlis Pewakilan Pelajar (MPP), MyFreeview dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - UPM