Oleh: Nik Zaini Peei
SERDANG, 21 Dis – Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui kumpulan pelajar Kursus Persembahan Lisan Tradisional (QKB2109) dengan kerjasama Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) menganjurkan Program Baca Puisi Cinta Palestin (PUSPA) sebagai medan solidariti dalam perjuangan menyokong kebebasan Palestin.
Pengarah program, Arif Hadiyan Mohd Zahrain berkata, penganjuran PUSPA bukan sekadar satu perhimpunan bacaan puisi, ianya merupakan ungkapan solidariti dan simpati terhadap nasib rakyat Palestin.
“Sokongan bukan hanya dalam bentuk kata-kata malah tindakan konkrit antaranya sumbangan kemanusiaan, penyebaran kesedaran dan usaha untuk memahami situasi sebenar adalah langkah-langkah kecil yang boleh membawa perubahan besar,” katanya.
Fasilitator Kursus QKB2109, Nik Zaini Peei berkata, cakna dengan situasi semasa pada peringkat global, PKPP, UPM tidak terkecuali dalam menyatakan solidariti dan sokongan terhadap perjuangan warga Palestin yang dinafikan hak kebebasannya dan ditindas dengan kejam sehingga ke hari ini.
“Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diterjemahkan kepada perjuangan menuntut hak panji kebebasan serta melatih mahasiswa untuk prihatin dengan isu-isu yang melibatkan kebajikan dan kemanusiaan.
“Hentikan peperangan, suburkan kedamaian, bangkit mempertahankan hak kemanusiaan walaupun hanya pena di tangan,” katanya.