Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
Krisdakorn Wongwai, 41, berasal dari Thailand berjaya menamatkan pengajiannya Doktor Falsafah (PhD) Perniagaantani di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menariknya, Krisdakorn memilih bidang perniagaantani di UPM kerana persekitaran UPM yang menyokong perkembangan diri dan profesional serta nilai-nilai murni individu di sekelilingnya.
Sepanjang lima tahun beliau berada disini, pelbagai cabaran yang dihadapi olehnya tetapi itu bukan halangan untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang pengajaran dan penyelidikan.
“Saya juga tidak terkecuali berhadapan situasi yang sukar sepanjang pengajian saya tetapi saya beruntung kerana mendapat sokongan yang sepenuhnya daripada penyelia saya” katanya ditemui selepas Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 hari ini.
“Pada pandangan saya, bidang Perniagaantani menawarkan peluang untuk menyumbang kepada pembangunan sektor agrikultur dan memperkukuh rangkaian nilai yang kritikal,” ujarnya.
Bidang ini memainkan peranan penting dalam pembentukan kerjayanya melalui pengajaran dan penyelidikan dalam sektor perniagaantani bagi membantu masyarakat.
“Sepanjang tempoh pengajian saya ini, saya ditaja sepenuhnya oleh SEARCA dan peluang yang sedia ada ini yang berhasil memberi impak positif kepada kehidupan saya.
“Walaupun sesi pengajian saya berlangsung pada waktu Pandemik, sokongan utama saya ialah keluarga tercinta dengan berhubung melalui sosial media,” katanya.
Kini, Krisdakorn merupakan seorang pensyarah di Udon Thani University dengan menggunakan kepakaran dan pengalaman yang diperoleh dalam membantu para pelajarnya dalam sektor agrikultur.