Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 16 Disember - Universiti Putra Malaysia melalui Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) bersama kumpulan pelajar BTC4904 Khidmat Pembelajaran dalam Bioteknologi telah menganjurkan program Pemindahan Ilmu Kaedah Bioteknologi Pengkomposan Melalui Pendayaan Komuniti, baru-baru ini.
Program @UniMADANI ini diadakan bagi mengurangkan sisa dari segi bioteknologi, menjana pendapatan dan membuka peluang perniagaan dalam sektor hijau.
Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Datuk Borhan Aman Shah merasmikan program ini serta melancarkan produk hasilan komuniti iaitu “Banghuris” di Balai Raya Kampung Hulu Teris, Sepang.
Ketua Program, Prof. Madya Dr. Mohd Zulkhairi, Ketua Laboratori Institut Perhutanan Tropika Dan Produk Hutan, Mohd Yusoff berkata, usaha ini adalah sinergi antara ilmu pengetahuan, teknologi dan keperluan masyarakat melalui Projek Pendayaan Komuniti @UniMADANI 2024.
“Kami menumpukan kepada isu yang sering terlepas pandang iaitu pengurusan sisa organik dan aplikasinya dalam bioteknologi pengkomposan demi membuktikan bahawa peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu serta inovasi.
“Kadang kala sisa organik sering dianggap tidak bernilai, tetapi melalui kaedah yang betul, boleh bertukar menjadi sumber yang amat berharga,” katanya.
Menurut beliau, projek ini juga memberi peluang kepada komuniti untuk meneroka potensi melalui teknik moden yang disampaikan secara amali.
Pelajar dari Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian, Siti Nurhaidah Mohd Rofi, 21, berkata, pemilihan baja ialah baja tinja ayam dimana terdapat banyak sumber nitrogen di dalamnya.
“Penggunaan tinja ayam ini membantu dalam mempercepatkan proses penguraian sisa organik kerana kandungan nutrien yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, suri rumah Nor Shahirah Azemi, 31, menyifatkan program ini membantu komuniti dalam menyelesaikan permasalahan sisa makanan dan tinja ayam.
“Penggunaan sisa organik sebagai bahan kompos dapat mengurangkan lalat di kawasan perumahan kami kerana lalat yang banyak ini boleh membawa penyakit.
“Pada pandangan saya, program ini juga dapat menyatukan komuniti dengan pelajar-pelajar dalam menyelesaikan masalah setempat dengan cara perkongsian ilmu,” ujarnya.