Oleh: Nurul Atikah Mohd Rosli
MELAKA, 4 Mei - Sekolah Kebangsaan Chabau, Melaka dipilih sebagai sekolah pertama di negeri itu melaksanakan sistem penuaian air hujan di bangunan sekolah, yang dijalankan melalui projek yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Sarva Mangala Praveena dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau melaksanakan projek itu bersama pensyarah UPM yang lain iaitu Dr. Irniza Rasdi, Dr Karmegam Karuppiah serta staf sokongan Siti Khatijah dan Ahmad Fauzi dengan kerjasama pensyarah Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Dr. Tee Boon Tuan.
Ia merupakan pendekatan terbaik pihak sekolah dan sebagai inisiatif dalam mengajar generasi muda mengenai pemuliharaan air. Pelaksanaannya mampu memberi manfaat terhadap persekitaran dan kebaikan kepada sekolah, antaranya membantu mengurangkan penggunaan air bersih, serta mengurangkan bil air dan beban kerajaan ke atas insfrastruktur dan pembinaan kos.
Projek penuaian air hujan di SK Chabau itu adalah Program Eco-Schools dengan kerjasama UPM, World Wildlife Fund (Malaysia), Green Growth Asia Foundation, UTeM serta Persatuan Transformasi Masyarakat dan Industri Melalui Pendidikan dan Penyelidikan.
Ia dilancarkan Timbalan Dekan (Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM, Prof. Dr. Shamsul Bahri Mohd Tamrin bersama Pegawai Eksekutif Green Growth Asia Foundation, Bala Murugan Rathakrishnan.
Prof. Dr. Shamsul Bahri berkata selain mengurangakan bil air, sistem penuaian air hujan dapat juga mengajar kepentingan pengunaan air bersih di sekolah.
Guru Besar SK Chabau, Ishammuddin Ab. Hadi berkata Program Eco-Schools itu adalah sebahagian daripada aktiviti kurikulum dalam mengajar murid mengenai kepentingan alam sekitar.
Prof. Madya Dr. Sarva Mangala Praveena pula berkata pelaksanaan teknologi mesra alam itu akan mampu mengurangkan amaun dan kos penggunaan air bersih di sekolah dan berharap kesedaran mengenai penjimatan penggunaan air bersih akan dapat dipertingkatkan terutamanya di kalangan komuniti sekolah.
Melaka mensasarkan penyertaan 100 buah sekolah dalam menjayakan program Eco-Schools di peringkat negeri yang dilancarkan pada 2017. Ia akan diteruskan dengan penyertaan empat buah sekolah iaitu SK Padang Temu, SK Durian Tunggal dan SK Iskandar Shah.
Sementara itu beberapa program pendidikan mengenai pemuliharaan air turut diadakan semasa pelancaran projek penuaian air hujan di SK Chabau itu, antaranya membuat prototaip, pertandingan mewarna, bermain kuiz dam dan kuiz penjimatan air bersih.
Aktiviti disertai 39 pelajar darjah 3,4,5, dan 6 dengan dibantu oleh penyelaras program di sekolah (Cikgu Roslina dan guru lain) serta Kelab ENVOCH FPSK (UPM) yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran pelajar mengenai pemuliharaan dan penjimatan penggunaan air bersih. - UPM