SERDANG, 6 November- Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) dengan kerjasama Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), dan Muzium Angkatan Tentera Darat telah menganjurkan Seminar Ilmu Bedil dan Senjata Api Melayu.
Seminar yang bertemakan “Pelestarian Warisan Melayu Pemangkin Pengukuh Jati Diri” bagi memupuk kesan penghayatan terhadap sains persenjataan Melayu dalam kalangan masyarakat, sekaligus menyemarakkan semangat cinta terhadap khazanah warisan melayu agar terus terserlah.
Dekan, FBMK, Prof. Madya. Dr. Hazlina Abdul Halim berkata melalui seminar ini memperlihatkan wujudnya sinergi, menjadikan UPM sebagai markas ilmu dalam menyuburkan kecendekiawan masyarakat Melayu dalam ilmu termasuk ilmu senjata.
Katanya, seminar ini berupaya dalam memartabatkan lebih lagi khazanah budaya dan warisan Melayu yang dimiliki atau diwarisi sejak kurun abad lalu.
“Diharapkan agenda memasyarakatkan khazanah warisan ini dapat diteruskan kepada generasi muda dengan jayanya bagi pemilikan sebuah tamadun bangsa yang bersifat mandiri,” katanya.
Seminar yang berlangsung selama dua hari ini turut menyajikan pembentangan lapan kertas kerja yang memfokuskan perkongsian ilmu pengetahuan tentang ilmu bedil kepada orang ramai.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, YBhg. Prof. Dr. Ir. B.T Hang Tuah Baharudin berkata seminar ini mampu meningkatkan reputasi UPM sebagai sebuah menara ilmu yang komited dalam mempromosikan warisan budaya termasuk persenjataan sebagai khazanah bangsa yang tiada nilai taranya.
“Saya percaya melalui seminar ini akan banyak pengetahuan termasuk evolusi dan teknologi berkaitan dengan persenjataan yang perlu diketahui oleh generasi muda hari ini,
“Perkongsian bukan sekadar pada ilmu dasar semata-mata tetapi perlu menggali dengan lebih mendalam rahsia kebijaksanaan yang akan menyerlahkan khazanah warisan kita,”
Turut membuat pembentangan ialah Mejar Johizan Halid, Dato’ Dr Abdul Mua’ti Zamri Ahmad, Brig. Jen. Dato’ Dr. Mohd Radzi Haji Abdul Hamid, Dr Mohd Hasanuddin Mohd Yusof, Dr. Azharudin Mohamed Dali, Ts. Muhammad Syafiq Mohd Zamshari, dan Pandai Bedil, Encik Murtaza Maarof dan Encik Azman Omar.