Oleh : Helena Pieary Juman
SERDANG, 4 November- Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) dengan kerjasama Yayasan Karyawan telah menganjurkan Program Memupuk Pembacaan Karya Agung Melayu Dalam Kalangan Belia bagi meningkatkan minat belia terhadap karya agung Melayu.
Program itu yang dibuat untuk memperkukuhkan penghayatan terhadap warisan Melayu sebagai inisiatif memartabatkan serta meningkatkan penghayatan terhadap karya agung Melayu dalam kalangan belia.
Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), FBMK, Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz berkata melalui program ini minat membaca dalam kalangan belia dapat disemai serta dapat mengekalkan warisan budaya dan identiti bangsa dalam kalangan diri mereka.
Katanya, program ini turut berupaya membantu menghidupkan semula minat terhadap karya melayu khususnya dalam kalangan belia, sekaligus membuka peluang kepada golongan belia untuk menyerlahkan serta mengasah bakat mereka dalam dunia bahasa,”
“Diharapkan belia dapat menggunakan peluang ini untuk menyelami lebih mendalam dunia karya agung Melayu, serta menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam karya-karya tersebut.
Program itu turut dihadiri oleh pelajar daripada lima buah sekolah, iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, Sekolah Agama Menengah Bestari, Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya, Sekolah Menengah Kebangsaan Hulu Kelang, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang.
Sementara itu, Ketua Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata penyertaan daripada golongan belia perlu diberi penekanan, agar warisan budaya karya agung melayu tidak pupus dek zaman.
“Golongan ini merupakan penerus kepada budaya warisan bagi karya agung Melayu, oleh itu, karya agung perlu dimartabatkan bagi memastikan ia dikenali, difahami dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat terutama generasi kini,” katanya
Dalam program itu juga turut disampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Bercerita Karya Agung Melayu yang dimenangi oleh Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, Iris Ramadhani Noor Mohamad, 14.
“Sebagai golongan muda, menjadi tanggungjawab saya, untuk menjadi penerus kepada usaha memartabatkan Karya Agung Melayu yang kurang pendedahannya khususnya dalam kalangan golongan muda,”
“Untuk masa akan datang, diharapkan program ini dapat diperluaskan serta diteruskan agar terus mendapat sambutan serta penyertaan daripada golongan belia,” katanya
Pemenang Johan bagi pertandingan bercerita karya agung ini juga turut menekankan bahawa guru, ibu bapa, dan orang disekeliling memainkan peranan penting dalam memartabatkan agenda ini.