Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
PUTRAJAYA, 19 Ogos - Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Rekreasi Air Sisiran Floria, Putrajaya telah menganjurkan program “Menyusur Jalur Cahaya: Kami Sentiasa Di Sisi" bagi menyantuni ahli Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, program ini dapat meningkatkan keyakinan dan ketekalan dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan serta memupuk budaya sukan dalam kalangan masyarakat.
“Saya percaya pelaksanaan program ini dapat memberikan impak yang positif bukan sahaja kepada golongan OKU Penglihatan malah turut menyuntik motivasi untuk membina keyakinan diri mereka untuk terus aktif,” katanya.
Prof. Dr. Ismi Arif turut merasmikan pelepasan peserta berkayak yang telah mencipta sejarah dalam Malaysian Book Of Record iaitu ‘Most Visually Impaired Participants In A Kayaking Program’.
Selain itu, seramai 120 orang peserta telah menyertai program ini, terdiri daripada 60 orang daripada MAB dan 60 orang fasilitator.
Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri peserta dalam sukan air, memupuk semangat setiakawan dalam kalangan orang istimewa, dan meningkatkan minat serta penghayatan terhadap aktiviti berkayak.
Pelajar Bacelor Pendidikan Jasmani, FPP, UPM, Muhammad Faaiz Muhammad Rafee berkata, ini adalah pengalaman pertama beliau terlibat dalam program bersama golongan OKU Penglihatan.
“Walaupun mereka tidak dapat melihat namun saya sangat kagum dengan semangat positif mereka dalam mengharungi penghidupan yang wajar dicontohi dan sebagai insan yang normal ianya memberi inspirasi kepada saya untuk meningkatkan kemahiran insaniah diri,” katanya.
Ahli MAB, Mohd Yusaini Yusop berkata, program ini memberi manfaat kepada beliau dalam pengendalian kayak serta membina keyakinan diri dan pengetahuan dalam menyertai aktiviti sukan air.
“Saya berasa bangga dapat menyertai aktiviti ini serta yakin dengan kebolehan saya. Saya juga berasa gembira UPM adakan program bersama kami dan berharap ianya akan berterusan di masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, penganjuran program ini adalah sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Matlamat 1 Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang
Turut hadir, Pendaftar UPM, Muhazam Mansor, Dekan FPP, UPM, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Pengarah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), Pengarah Alam Sekitar Perbadanan Putrajaya, Ruhselah Ismail dan Presiden MAB, Dato’ George Thomas.