SERDANG, 18 November- Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan program CSIT Career Fair 2024 bagi membuka peluang kepada pelajar meraih pengetahuan tentang teknologi maklumat sekaligus mendalami pasaran pekerjaan terkini.
Program yang diadakan baru-baru ini anjuran Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) dengan kerjasama Unit Latihan Industri dan Kerjaya telah menarik 18 buah majikan antaranya Deloitte Southeast Asia, Global Intelligence Sdn Bhd, Bank Negara Malaysia, Boostorder Sdn Bhd dan PERKESO.
Zalora(M), Syntronic Malaysia Sdn Bhd, iDynamics Software Sdn Bhd, Finuexus Group, AMD, SangforTech (M) Sdn Bhd, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Hilti Asia, Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd, E-Outsource Asia Sdn Bhd, eBdesk Malaysia Sdn Bhd, dan BeanSE Sdn Bhd turut menjayakan program itu.
Dekan FSKTM, Dato’ Prof. Dr. Shamala K.Subramaniam berkata menerusi program ini majikan dapat mengenal pasti bakat baru, khususnya dalam bidang pengaturcaraan, pembangunan perisian, dan sains data, selari dengan aspirasi universiti memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi AI.
Antara program menarik termasuk temu duga terbuka, sesi perkongsian kerjaya, ceramah industri, kuiz teknologi serta pertandingan pengaturcaraan, dan juga bengkel pembangunan diri untuk membantu pelajar bersiap sedia menghadapi alam pekerjaan.
Dalam pada itu, program itu dihadiri seramai 300 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Jabatan Sains Komputer, Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Sistem Maklumat, Jabatan Multimedia dan, Jabatan Teknologi Komunikasi dan Rangkaian.