Oleh: Nurul Athira Mohd Affandi
KOTA KINABALU – Anggota sukarelawan YOSH UPM bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction menyalur dan mengedarkan bantuan barang makanan dan keperluan asas kepada penduduk Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kota Kinabalu, Sabah pada ketika negeri itu berdepan kes COVID-19 yang banyak.
Misi bantuan kecemasan COVID-19 itu turut mengedarkan 800 set Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan pelitup muka kepada Hospital Likas, Hospital Queen Elizabeth dan Pusat Penjara Kota Kinabalu untuk kegunaan petugas barisan hadapan.
Sebanyak 584 set bekalan asas yang dinamakan Rezeki Ummat bernilai RM50,000 mengandungi barang makanan termasuk beras, garam, gula dan tepung diedarkan di Semporna, Kota Kinabalu dan Lahad Datu.
Pengerusi Chapter Alumni YOSH UPM, Muhammad Azri berkata cabaran terbesar pasukan beliau sebagai sukarelawan adalah merentasi perjalanan laut dan darat dengan memakai PPE sepanjang hari sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dari MyFundAction.
“Walaupun SOP ini menyukarkan kerja menghantar bantuan, namun ia perlu dipatuhi bagi memastikan tiada penyebaran Covid-19 semasa misi bantuan dijalankan,” katanya.
Beliau yang juga pelajar Master Rekreasi Mampan dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM, berkata misi kali ini agak mencabar kerana mereka hanya diperuntukkan empat jam sahaja untuk berehat setiap hari kerana jadual padat dengan aktiviti agihan bantuan serta menyantuni masyarakat dari pagi sehingga malam.
Graduan Bacelor Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurhafizah Ab Aziz, pula berkata walaupun terpaksa menyelusuri sungai paya bakau, tiang yang reput dan laluan berliku, ia tidak mematahkan semangat para sukarelawan.
Para sukarelawan turut turun padang ke kampung termasuk di Tatagan atau dikenali Perkampungan Bajau Laut. Penduduk awalnya enggan keluar kerana bimbang dikenakan ujian saringan COVID-19 kerana sukarelawan hadir lengkap lengkap berpakaian PPE.
Pengawai Eksekutif Operasi MyFundAction, Siti Aisyah Syahid, bersyukur dan berterima kasih kepada sukarelawan yang cakna dalam membantu masyarakat.
“Lebih membanggakan apabila semua yang menjadi sukarelawan terdiri daripada anak muda yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Ada di antara mereka pelajar Master dan PhD di UPM dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan ada yang telah berkeluarga tetapi sanggup meluangkan masa bersama masyarakat,” katanya. - UPM