Oleh: Hafliza Hussin
KAJANG - Kempen Hijau dan inovasi Universiti Putra Malaysia (UPM) menggunakan alat inovasi Skyridder berjaya membantu komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sinaran, di sini dalam membuang iklan haram yang dipasang di tiang lampu jalan di kawasan perumahan itu.
Projek inovasi Skyridder yang dihasilkan oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Langit Putra dari Putra Science Park dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) (TNCPI) UPM itu bermula tahun 2018 bagi menyelesaikan masalah dawai karat dan serpihan bunting yang ditinggalkan pada tiang lampu sekitar UPM.
Skyridder dibangunkan menggunakan barangan terpakai bagi mengatasi masalah kesukaran membuang dawai lama dan serpihan kayu pada tiang lampu selepas gegantung diturunkan dari tiang lampu.
Ketua kumpulan projek, Asrizam Esam berkata SkyridderTM dapat membantu lebih 8,000 komuniti KRT di Malaysia bagi membenteras iklan haram sekiranya alat ini dapat dikomersilakan nanti.
MPSJ merekodkan lebih 290,000 iklan haram yang dikesan pada 2015.
Katanya, program inisiatif hijau itu melibatkan aktiviti pembuangan dawai lama dan serpihan kayu yang ditinggalkan di tiang-tiang lampu sekitar taman berkenaan.
Pengerusi KRT Taman Sinaran, Yusoff Masburi berkata beliau berasa beruntung kerana terdapat cadangan daripada UPM untuk menjalin kerjasama dengan komuniti di situ melalui program khidmat masyarakat yang juga boleh membantu meningkatkan kesedaran terhadap inisiatif hijau.
“Ia sekaligus telah membuka mata komuniti di sini mengenai masalah dawai karat dan serpihan sampah yang sering ditinggalkan oleh syarikat atau individu yang meletakkan bunting iklan dan bahan promosi secara haram di sekitar kawasan ini.
“Kami sering mengadakan aktiviti gotong-royong di taman ini bagi mewujudkan prasarana dan persekitaran yang selamat, bersih serta untuk merapatkan ukhwah dengan komuniti setempat. Bagaimanapun kami tidak menyedari masalah ini menjejaskan pemandangan alam sekitar di kawasan jika tidak dibendung,” katanya.
Pengarah program, Nor Liyana Kamarudin yang juga ahli kumpulan Langit Putra pula berkata, kempen inisiatif hijau telah dilaksanakan dari peringkat dalam UPM lagi dengan penganjuran program bebas dawai tahun lalu dan semasa Projek Kesedaran 2019 Peringkat Kebangsaan (Zon Tengah & Selatan): Penggunaan Kertas Kitar Semula.
“Kempen ini merupakan komitmen berterusan kami selaku warga universiti yang mempunyai sedikit sebanyak kepakaran dan pengalaman dalam inovasi untuk dikongsikan kepada komuniti untuk sama-sama mendapat manfaat.
“Kami juga ingin memberi kesedaran dengan mendidik warga UPM, generasi muda dan masyarakat setempat untuk mengamalkan amalan inisiatif hijau dalam kehidupan seharian,” katanya.
Turut hadir ahli jawatankuasa KRT dan ahli kumpulan Langit Putra iaitu Asrizam Esam, Norliyana, Hafliza, Norazlin, Mohd Mas’ataillah dan Mohd Hisham dari PSP, Mohd Izzat dari Pejabat TNCPI, dan Shahriman Hashim sebagai fasilitator. - UPM