Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
SERDANG, 8 April - Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tidak lama lagi bakal tiba sedikit berbeza bagi pelajar dari Sabah, Nursyahirah Jasman, 22 dan Mahmoud Samir, 21 dari Qatar yang tidak dapat pulang beraya bersama ahli keluarga tercinta.
Menurut Syahirah, keputusannya itu dilakukan dek kekangan kewangan untuk membeli tiket pulang dan cuti yang singkat namun tidak menjejaskannya untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh makna kesyukuran.
"Sebenarnya ini merupakan kali kedua saya akan beraya di Universiti Putra Malaysia (UPM). Rasa sedih memang ada kerana tidak dapat menyambut perayaan bersama keluarga tetapi saya tetap menyambutnya dengan penuh gembira dan ceria bersama rakan-rakan yang berada di sini.
"Kebiasannya saya akan menyambut Hari Raya bersama keluarga rakan sebilik saya di Selayang yang meraikan saya seperti keluarga sendiri," katanya yang merupakan pelajar tahun dua Bacelor Sains Biologi Sel dan Molekul dengan Kepujian.
Sementara itu, Mahmoud yang merupakan pelajar tahun tiga Bacelor Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik akan menghabiskan masa bersama rakan-rakan antarabangsanya untuk melancong di Malaysia serta mengunjungi beberapa buah restoran untuk mencuba makanan di negara ini.
"Perkara yang saya nantikan untuk Hari Raya di sini ialah menunaikan solat raya di masjid yang baharu dengan melihat kegembiraan masyarakat Malaysia menyambut perayaan ini.
"Sudah dua tahun juga saya tidak pulang ke Qatar dan perbezaan ketara sambutan Aidilfitri ialah pakaian tradisional dan juadah makanan. Di Qatar kami akan memakai Thobe dan banyak manisan yang akan dihidangkan," katanya. -UPM