Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Noor Azreen Awang
KUALA LUMPUR, 18 Nov - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan Selangor Biotechnology Action Plan 2021-2030 sempena Selangor International Business Summit (SIBS) 2021.
Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Malaysian Biotechnology Information Centre (MABIC) dan Bioeconomy Corporation dilantik oleh Invest Selangor Berhad (ISB) sebagai perunding bagi pembangunan kertas polisi Selangor Biotechnology Action Plan 2021-2030 itu.
Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), UPM, Prof. Ts. Dr. Hidayah Ariffin yang juga Pengurus Projek perundingan itu berkata pemilihan UPM sebagai perunding merupakan satu pengiktirafan kepada pensyarah UPM.
“Kumpulan pensyarah UPM telah melalui proses pemilihan berperingkat yang melibatkan pembentangan kertas cadangan kepada Exco Selangor dan pihak pengurusan ISB. Kumpulan kami terpilih sebagai perunding bersama dengan MABIC dan Bioeconomy Corporation yang merupakan pemain utama sektor Bioteknologi di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kertas polisi Selangor Biotechnology Action Plan 2021-2030 itu mengambil masa selama hampir dua tahun untuk dibangunkan, bermula dari penyediaan kertas cadangan sehingga kepada kelulusan di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dipengerusikan Menteri Besar.
“Dalam masa dua tahun, pengumpulan maklumat dan pengenalpastian ekosistem Bioteknologi dijalankan di Selangor melibatkan pelbagai kaedah seperti tinjauan literasi, survei di kalangan pemegang taruh, focused group discussion (FGD) bersama pemain sektor Bioteknologi dalam dan luar negara, dan gap analysis.
“Pelancaran ini merupakan detik bersejarah untuk kumpulan kami. Diharapkan ia akan memberi manfaat kepada rakyat Selangor khusunya dan rakyat Malaysia amnya,” katanya.
Perunding UPM yang terlibat adalah dari FBSB dan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, diketuai oleh Prof. Dato’ Dr Mohd Ali Hassan diikuti Prof. Datin Paduka Dr Khatijah Yusoff, Prof. Madya Dr Mohd Zulkhairi Mohd Yusoff, Prof. Madya Dr Mohd Rafein Zakaria, Prof. Madya Dr Norhayati Ramli,Prof. Madya Dr. Mohammad Faizal Ibrahim, Dr. Ahmad Muhaimin Roslan, Dr Ezyana Kamal Bahrin, Dr. Tengku Arisyah Tengku Yasim-Anuar; Dr. Farah Nadia Mohammad Padzil., Prof. Dr Shaufique Fahmi Ahmad Sidique (SPE); Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman (SPE) dan Dr Noor Azlin Ismail (SPE).
Prof. Ts. Dr. Hidayah berkata, pelan tindakan itu merangkumi komitmen kerajaan negeri dan aspirasi untuk menjadikan Selangor sebagai Hub Bioteknologi dan Bioekonomi di Asia Tenggara.
“Selangor mempunyai visi untuk menjadikan sektor Bioteknologi sebagai pemacu utama ekonominya. Selangor Biotechnology Action Plan 2021-2030 membentuk tadbir urus berkaitan bioteknologi untuk memutuskan dasar, melaksana serta memantau strategi dan inisiatif sektor bioteknologi di Selangor,” katanya.
Sementara itu, sesi penerangan Selangor Biotechnology Action Plan 2021-2030 diadakan pada petangnya, oleh Prof. Ts. Dr. Hidayah dan Naib Presiden Bioeconomy Corporation, Datin Aznita Naziz.
Ia bertujuan memberi penerangan kepada pemegang taruh bidang bioteknologi di Malaysia berkaitan bidang tujahan, matlamat, pelan tindakan dan inisiatif yang diperkenalkan di dalam kertas polisi Selangor Biotechnology Action Plan 2021-2030.
Kertas polisi itu mengandungi lima bidang tujahan (thrusts), 10 matlamat (goals), 35 pelan tindakan (action plans) dan 43 inisiatif (initiatives) yang akan dilaksanakan oleh pelbagai agensi di bawah kerajaan negeri dan diterajui oleh unit pelaksana yang ditubuhkan di bawah Invest Selangor Berhad. - UPM