Oleh: Azman Zakaria
Foto: Marina Ismail
SERDANG, 19 Okt: Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menyumbang 300 pek makanan tengahari selama lima hari mulai hari ini sehingga Jumaat untuk pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berada di kampus, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sumbangan pek makanan itu diserahkan Pengurus Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat PjH, Sabariah Mahmood kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr. Arifin Abdu, di Bilik Operasi Kolej Kediaman UPM, di sini.
Profesor Dr. Arifin berkata UPM mengucapkan terima kasih dan amat menghargai sumbangan itu.
Katanya, bantuan yang disampaikan dapat meringankan beban pelajar yang berada di kolej.
Beliau berharap hubungan silaturahim antara UPM dan PjH akan terus bertambah kukuh, untuk sama-sama saling dapat menjayakan program-program seumpama itu pada masa depan.
Sabariah pula berkata, melalui program PjH Prihatin itu, PjH juga menyampaikan 300 pek makanan kering pada Jumaat ini untuk pelajar UPM.
Beliau berkata, pihaknya memahami kesukaran yang dilalui pelajar terbabit untuk membeli atau mendapatkan makanan ketika pelaksanaan PKPB sekarang.
“Justeru, kami tampil membantu dan menyumbang makanan agar pelajar sentiasa dapat fokus kepada pelajaran,” katanya.
Beliau berkata, program PjH Prihatin itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh PjH dalam membantu golongan yang memerlukan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pentadbiran (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Shahriman Hashim, dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Fahmi Azar Mistar serta wakil pelajar.
Kerajaan melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula tengah malam 14 hingga 27 Oktober ini berikutan peningkatan kes COVID-19. - UPM