Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 30 November – Program Kolaboratif Antarabangsa UPM (UPM-ICP) memberi peluang peluang graduan program sulung Doktor Falsafah (Program Ijazah Cotutelle bersama University Wollongong (UOW), Australia), Md Saifullah Razali untuk menempa ilmu baharu di luar negara.
Md Saifullah, 40, berkata melalui mod program pengajian tersebut, beliau memperoleh pengalaman dan pengetahuan yang amat berharga melalui UPM dan UOW terutamanya dalam teknologi pengkomputeran.
“Kajian saya antaranya memerlukan penggunaan Teknologi Pengkomputeran Berprestasi Tinggi (HPC) dan peluang untuk aplikasi teknologi ini ketika di Australia, menggunakan fasiliti di universiti berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, kajiannya berkenaan Pengesanan Bahasa Kiasan Menggunakan Ciri-Ciri Mendalam dan Kontekstual adalah sebuah perisian yang dapat mengenal pasti dialog sarkastik atau sebaliknya.
“Pada masa kini penggunaan teknologi AI antaranya Chat GPT kini digunakan dan terdapat frasa ayat pada teknologi itu sama ada ayat itu adalah dialog biasa atau sarkastik dan melalui kajian saya ini ia dapat membantu dalam permasalahan tersebut,” katanya.
Beliau turut menyokong kolaborasi sinergi bersama universiti terpilih memanfaatkan pelajar untuk memperoleh pengalaman belajar di UPM dan universiti luar negara yang serta berpeluang untuk meningkatkan kualiti dan pengalaman pembelajaran.
“Walaupun saya pada awalnya menghadapi cabaran yang getir namun ia adalah pengalaman yang sangat manis kerana saya bukan sahaja memperoleh ilmu malah pengalaman baharu serta merasai penerapan silang budaya dalam proses pembelajaran dan persekitaran,” katanya.
Dalam pada itu, UPM-ICP adalah program yang dibangunkan bersama oleh UPM dengan beberapa universiti terkemuka. Program ini menyediakan peluang kepada pelajar untuk belajar di luar negara dan pada masa yang sama memperoleh ijazah dari UPM dan universiti kolaborasi.