Oleh: Azman Zakaria
SIMPANG RENGGAM, 5 Dis: Seramai 28 ahli Persatuan Kebajikan Mahasiswa Negeri Johor (PERKASA) Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Program Kembara Pertanian Perpaduan berkonsepkan komuniti, yang turut melibatkan penyertaaan 20 keluarga dari Taman Desa Sejahtera Simpang Renggam, di sini.
Program tiga hari itu yang bermula 3 Disember adalah cetusan idea daripada Projek Induk iaitu Projek Pertanian Tanpa Cangkul (PTC) yang merupakan pertandingan dari Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang berlangsung dari Jun 2021 hingga Mei 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap, Abd Taib Abu Bakar berkata, program itu yang dikembangkan oleh mahasiswa UPM diharap dapat melahirkan masyarakat yang celik inovasi, produktif serta kreatif dengan memanfaatkan ruang yang ada bagi menjalankan aktiviti pertanian.
“Aktiviti bertani secara berkumpulan di kawasan kejiranan seperti menanam sayur-sayuran boleh memberikan hasil tanpa perlu dibeli dan berkongsi rezeki. Secara tidak langsung, ikatan sosial masyarakat dapat dikukuhkan,” katanya ketika merasmikan program itu.
Pengurus Pembangunan Mahasiswa YPJ, Hamdi Mohamed Amin pula berkata, program itu diharap dapat membantu masyarakat menambah ilmu pertanian seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Pada program itu, pelbagai input dikongsi bersama daripada segi pengalaman penduduk dan perkongsian ilmu oleh pelajar, serta menjalin ukhwah dan hidup sebagai satu keluarga angkat.
Seramai 20 pelajar menjadi fasilitator kepada 20 buah keluarga angkat dan secara tidak langsung membantu keluarga itu dalam penjagaan pokok daripada segi khidmat nasihat.
Pengarah Program, Ahmad Shukry Yahya berkata, beliau bersyukur kerana program itu berjaya mencapai matlamat berkongsi ilmu serta inovasi pertanian dan menjalin ukhawah bersama penduduk.
Ahli Jawatankuasa Induk, Hazirah Samad pula berkata, program itu memberi impak yang besar kepada penduduk dalam menggunakan inovasi pertanian tanpa cangkul yang diperkenalkan.
Seorang penduduk, Noorashikin Rominor, berkata beliau seronok berjumpa dengan anak-anak angkat di bawah program itu dan berharap program seperti itu diteruskan pada masa hadapan.
Seorang lagi penduduk, Zulkafli Mohamad Nor berkata, program itu yang pertama kali diadakan di taman itu sangat bermakna kepada semua penduduk dan beliau berbesar hati di atas kehadiran pelajar UPM.
Projek Pertanian Tanpa Cangkul merupakan inovasi dari Pengerusi Kelab Rukun Tetangga Kajang, Ibrahim Martibi yang juga mentor projek. Program inovasi itu yang bermula pada 2014 relevan dan berpotensi besar dengan konsep pertanian bandar yang menjimatkan ruang dan mampu memberi pulangan jika dikomersialkan. – UPM