Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
IPOH, 8 Ogos – Pensyarah kanan Jabatan Komunikasi, Dr. Hani Salwah Yaakup berjaya meraih tiga anugerah pada Majlis Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-8 di Dewan Bankuet, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, baru-baru ini.
Beliau yang bertugas di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima anugerah dalam tiga kategori iaitu Cerpen (Eceran) dengan karya Cinta Dalam 3X7, Rencana Sastera (Eceran) dengan tajuk Mencari Wanita Ideal Dalam Novel Penulis Malaysia Semasa, dan Karya Ilmiah (Eceran) dengan kajian bertajuk "Representasi Budaya Setempat: Adaptasi Novel Filem Jogho (1997) dan Tombiruo (2018).
Dr. Hani meluahkan rasa syukur serta gembira atas tiga pengiktirafan yang diterima dan menjadikan pencapaiannya itu sebagai inspirasi untuk terus menerokai bidang penulisan kreatif.
"Saya berasa amat bersyukur menerima kejutan yang begitu bermakna ini kerana dianugerahkan tiga penghargaan dalam satu malam, terutamanya sebagai penerima pertama dalam kategori ilmiah.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu pencapaian, tetapi sebuah inspirasi untuk saya terus melangkah lebih jauh dan menyelami dengan lebih mendalam bukan sahaja dunia penulisan kreatif, tetapi juga penulisan ilmiah yang berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau juga berharap semoga pencapaian ini menjadi obor yang menerangi perjalanannya dan rakan-rakan sepenulisan, untuk terus berkarya dengan sepenuh jiwa dan raga.
Anugerah ini membolehkannya membawa pulang wang tunai terkumpul sebanyak RM4,500 sebagai hadiah kemenangan, plak dan sijil penghargaan.
Majlis yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak ini bertujuan mengiktiraf dan menghargai sumbangan penulis tempatan dalam bidang sastera. -UPM