SERDANG, 7 Dis - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati risiko kecacatan kelahiran dapat dikurangkan sekiranya wanita meningkatkan pengambilan asid folik mereka dengan ketara.
Kajian ini dijalankan dengan kerjasama The South Australian Health and Medical Research Institute dan Canada’s University of British Columbia.
Kecacatan tiub saraf (NTD) adalah kecacatan kelahiran seperti spina bifida yang melibatkan 300,000 bayi yang dilahirkan setiap tahun di seluruh dunia. Sebilangan bayi ini mati semasa dilahirkan sementara yang lain mengalami kecacatan seumur hidup.
Di Malaysia kajian prospektif melaporkan lazimnya 0.42 daripada 1000 kelahiran disahkan hidup (Boo et al, 2013).
Sudah terbukti bahawa suplemen asid folik harus diambil sebelum dan semasa awal kehamilan untuk mengurangkan risiko NTD, tetapi para penyelidik percaya bahawa dos yang diambil dalam praktik harus jauh lebih tinggi.
Para saintis meramalkan jumlah kes dapat dikurangkan separuh jika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertindak berdasarkan penemuan terbaharu.
Pasukan penyelidik dari Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UPM, terdiri daripada Prof. Madya Dr. Loh Su Peng (Penyelidik Utama), Prof. Emeritus Dr. Khor Geok Lin, Prof. Dr. Zalilah Mohd Shariff dan Dr. Irmi Zarina Ismail. Penyelidik lain termasuk Prof. Dr. Timothy Green dari South Australian Health and Medical Research Institute dan Dr. Crystal Karokochuk dari University of British Columbia, Canada.
Kajian yang ditaja oleh Nutrition International dengan sokongan daripada kerajaan Kanada dan diterbitkan dalam BMJ Global Health menunjukkan pengambilan suplemen asid folik besi mingguan (IFA) yang mengandungi 2.8 mg asid folik dapat menurunkan risiko NTD sehingga empat kali ganda daripada yang ada sekarang iaitu standard global hanya 0.4 mg.
Sepanjang percubaan, 70% wanita yang mengambil 2.8 mg asid folik setiap minggu mencapai kepekatan folat sel darah merah yang berkaitan dengan risiko NTD yang rendah, berbanding dengan 10% wanita yang mengambil 0.4 mg.
WHO mengesyorkan suplemen mingguan untuk semua wanita berusia 15-49 yang tinggal di negara-negara yang mana kadar anemianya melebihi 20%. Makanan tambahan ini, terkini mengandungi 60mg zat besi tetapi hanya 0.4mg asid folik; tidak cukup untuk memberi manfaat.
Para penyelidik kini mengesyorkan agar formulasi asid folik 2.8mg yang optimum diciptakan secara meluas bagi wanita di negara berpendapatan rendah dan sederhana. – UPM