Oleh: Dr. Daljit Singh a/l Karam Singh
BANGKOK - Bagi memahami senario pertanian di negara lain yang lebih kurang sama iklimnya serta gunatanah untuk pertanian, seramai 25 pelajar Master Pengurusan Sumber Tanah (LARM), Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan lawatan akademik di Sekolah Sumber Pertanian, Universiti Chulalongkorn, Bangkok, baru-baru ini.
Lawatan itu bagi mendedahkan pelajar mengenai strategi pembangunan pertanian di Thailand, terutama daripada segi pembangunan sahsiah pelajar pertanian di negara yang merupakan salah satu pengeluar makanan terbesar di dunia.
Ketibaan pelajar yang diiringi dua pensyarah UPM Dr. Daljit Singh Karam dan Dr. Mohd Rizal Ariffin, disambut oleh Dekan Sekolah Sumber Pertanian, Prof. Dr. Kanisak Oraveerakul.
Prof. Dr. Kanisak berkata sekolah tersebut ditubuhkan kira-kira 10 tahun lalu, dan memberi peluang kepada pelajar mendalami dan menerokai kebolehan masing-masing di dalam memajukan sektor pertanian di Thailand.
“Generasi pelajar muda yang energetik, kreatif dan inovatif adalah sumber penting di dalam memperkasakan sektor pertanian.
“Penguasaan dalam bidang sains dan teknologi amat penting dalam bidang pertanian untuk membolehkan pelajar dapat menjalankan projek berasaskan pertanian yang dengan betul,” katanya.
Katanya, antara projek graduan yang berjaya ialah “Khao Yai The Mango House Farm” iaitu kebun yang terletak di Nong Nam Daeng, Nakhon Ratchasima yang merupakan pusat setempat bagi penggemar buah mangga yang menawarkan penjualan buah mangga terus dari kebun, bistro makanan dan minuman berasaskan mangga serta jualan mangga dan produk berasaskan mangga secara atas talian.
Terdapat lebih 8,000 pokok mangga di kebun itu serta buah-buahan eksotik Thailand lain aitu buah naga dan betik. Kebun itu mendapat pensijilan Good Agricultural Practice (GAP) dan merupakan antara tarikan pelancong di Nong Nam Daeng.
Antara projek yang berjaya di kalangan pelajar Sekolah Sumber Pertanian adalah “Ladang Babi Termaju di Thung Kham, Provinsi Nan”. Projek itu mengambil masa lapan bulan oleh pelajar Universiti Chulalongkorn yang membantu penternak babi meningkatkan pengedaran daging babi di provinsi berkenaan dengan menerapkan konsep mesra alam.
Pelajar LARM turut melawat Muzium Tanah, Jabatan Pembangunan Tanah, Thailand, yang memaparkan koleksi profil tanah daripada seluruh pelusok Thailand.
Profil tanah ini menggambarkan keadaan dan komposisi tanah di Thailand, khususnya untuk rujukan pengurus tanah serta orang ramai yang berminat untuk memahami kesuburan tanah serta mengetahui kesesuaian penanaman.
Selain itu, muzium pertanian mereka yang dikenali sebagai ‘Golden Jubilee of Agriculture’ turut memaparkan garis masa pertanian di negara Gajah Putih itu yang menjawab persoalan mengapa Thailand begitu obses dengan pertanian walaupun mereka melaksanakannya melalui kaedah konvensional kerana hampir 90% petani di negara itu mengamalkan pertanian tradisional .
Atase Pertanian Malaysia di Bangkok, Mohamad Ezri Shamsuddin sempat meluangkan masa serta menerangkan kepada pelajar bahawa ayahanda kepada Raja Thailand sekarang, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej (1927-2016) amat menitikberatkan kecukupan makanan ke atas rakyatnya.
“Pemerintahan baginda perlu memastikan setiap rakyat mempunyai makanan yang cukup, dan yang selebihnya bolehlah dijual kepada orang lain,” katanya.
Ketua pelajar LARM, Wan Abdul Hadi berkata penggunaan teknologi terkini boleh membantu meningkatkan produktiviti hasil pertanian, namun rakyat Thailand membuktikan bahawa, penggunaan tanah pertanian dengan optimum dan dibangunkan secara lestari dapat menjamin kedaulatan makanan mereka.
“Pelaburan dalam jentera-jentera atau peralatan yang terkini, tidak semestinya memberi pulangan keuntungan seperti yang diimpikan. Yang penting adalah pembangunan insan iaitu kesungguhan dan keazaman petani untuk menghasilkan hasil tani mengikut amalan pertanian yang terbaik di kebun atau tanah mereka,” katanya.
Menurutnya, terdapat peluang perniagaan yang disediakan kepada rakyat untuk menjadi usahawan. Antara yang paling berjaya adalah Royal Project Shop yang merupakan pusat pengumpulan dan pengedaran produk berasaskan pertanian yang menjadi tarikan para pelancong.
Lawatan dalam dan luar negara merupakan salah satu komponen penting dalam kursus LARM yang memberi peluang kepada pelajar untuk melihat serta membuat perbandingan pengurusan sumber tanah. - UPM