Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
Keagan Anak Chandi dan Kelvin Anak Chandi merupakan kembar seiras yang telah menamatkan pelajaran dalam bidang yang sama iaitu Diploma Kejuruteraan Teknologi Pertanian.
Pemilihan bidang ini adalah secara kebetulan dan tidak menyangka bahawa program pengajian yang diikuti akan sama, tetapi ini bukan sesuatu yang pelik bagi mereka untuk memilih Universiti Putra Malaysia (UPM).
Walaupun mereka berdua mengambil bidang yang sama, malah minat mereka berdua adalah berbeza dan juga kecenderungan dalam pemilihan kerjaya.
Menurut Keagan, minatnya lebih ke arah berada di lapangan manakala minat kembarnya lebih ke arah kemahiran komputer, katanya yang ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-48 Sidang 1 di Kampus Bintulu hari ini.
Keagan dan Kelvin turut mengakui bahawa mereka berdua turut terkesan dalam proses mematangkan diri ini, namun mereka akan terus saling membantu antara satu sama lain tidak kira sosial dan emosi.
Menurut Keagan, apabila menceburi bidang kejuruteraan pertanian ini, banyak yang telah dipelajarinya, membantu masyarakat di rumah panjang menjalankan aktiviti pertanian menggunakan teknologi terkini.