Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 9 Januari – Pensyarah Jabatan kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin telah dianugerahkan Pingat Emas Institut Kimia Malaysia (IKM) yang disampaikan oleh Presiden IKM, Datuk ChM. Dr. Soon Ting Kueh dalam majlis Malam Kimia baru-baru ini.
Penganugerahan itu merupakan satu pengiktirafan ke atas kecemerlangan Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap dalam bidang kimia di Malaysia.
Kepakaran beliau adalah dalam penghasilan dan aplikasi mangkin khususnya dalam penghasilan tenaga diperbaharui yang mampan dengan menggunakan teknologi hijau. Beliau juga telah mengasaskan penubuhan Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Katalisis di UPM sejak tahun 2008.
Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq berkata beliau sangat teruja di atas penganugerahan Pingat Emas ini dan yakin akan terus memberi komitmen yang cemerlang. Prof. Datuk ChM Ts. Dr. Taufiq Yap juga pernah menerima Anugerah Saintis Muda Negara pada tahun 2002, The Outstanding Young Malaysian Award (2008), Top Research Scientist Malaysia (2013), Malaysia’s Research STAR Award (2018) dan telah disenaraikan sebagai World’s Top 2% Scientist oleh Stanford University, Amerika Syarikat.
“Saya berharap ini secara langsung akan memberi inspirasi untuk melakukan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat dan negara dan dapat melahirkan pakar kimia yang bukan hanya terkemuka di Malaysia tetapi juga seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, penganugerahan tersebut merupakan anugerah tertinggi dari IKM yang pertama kali diterima oleh penyelidik dari UPM. - UPM