Oleh: Sim Ciar Yee
SERDANG – Sekretariat Akademik, Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Kelima Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya menganjurkan program MyBrain Challenge baru-baru ini bagi menyerlahkan kecemerlangan IQ dan EQ pelajar UPM.
Pengarah program, Chu Pei Hsia berkata ia bertujuan memupuk semangat cintakan ilmu di kalangan pelajar UPM serta mewujudkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan menyerlahkan bakat kepemimpinan pelajar.
“Program ini dapat melatih pelajar untuk berfikiran secara kritis dan kreatif dalam usaha menyelesaikan permasalahan dan menggalakkan pelajar mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Program bertemakan “Akademik Pencetus Keunggulan Mahasiswa” itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman. Turut hadir Pengerusi Jemaah Pengetua UPM, Prof. Dr. Sidek Ab. Aziz dan Pengetua Kolej Sepuluh dan Kolej Sebelas, Prof. Madya Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharuddin.
Antara aktiviti yang diadakan ialah Karnival Akademik, Spell-It-Right dan Clever 15. Karnival Akademik bertujuan mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam permainan-permainan yang disediakan oleh penganjur.
Kolej Sebelas dinobatkan sebagai johan pertandingan Spell-It-Right iaitu aktiviti menguji tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Dalam aktiviti Spell-It-Right, peserta diberi masa 20 saat untuk mengeja setiap perkataan Inggeris British yang diberikan.
Bagi pertandingan Clever 15, juara menjadi milik Kolej Sepuluh. Clever 15 adalah aktiviti untuk menguji tahap kecerdasan minda dan pengetahuan am. Penyertaan adalah secara berkumpulan iaitu dua orang setiap kumpulan. Peserta Clever 15 harus menjawab beberapa soalan kuiz umum berdasarkan jenis atau topik soalan yang dicabut oleh wakil kumpulan.
Sementara itu, Kelab Wushu UPM turut mempersembahkan wushu iaitu seni mempertahankan diri yang menggabungkan kelenturan, kekuatan, kelincahan serta irama gerak.
Persembahan lain termasuk kiub rubik, nyanyian lagu Melayu dan nasyid oleh pelajar Kolej Lima Belas. - UPM