Oleh: Faiz Hamzah
SERDANG, 10 Dis – Pelajar Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Izzuddin Rosli dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2018/2019.
Muhammad Izzuddin menerima simbolik penyerahan watikah pelantikan daripada Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Apresiasi MPP UPM Sesi 2018/2019 di Kolej Keenam, UPM, di sini. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman,
Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini dalam ucapannya menyeru agar setiap ahli MPP memainkan peranan sebagai penghubung mahasiswa secara berkesan dan bertugas secara profesional.
“Setiap ahli MPP sudah pasti menghargai setiap undi dan kepercayaan yang diberikan oleh mahasiswa untuk memegang mandat sebagai ahli MPP yang baharu… harapan saya agar semua bekerjasama menjalankan tugas” katanya.
Seramai 45 pelajar ahli MPP yang juga barisan kepemimpinan baharu MPP UPM Sesi 2018/2019 melafazkan ikrar pada majlis itu.
Turut menerima watikah pelantikan ialah Naib Yang Dipertua MPP UPM, Mohd Hafizudeen Mohd Zaidi; Setiausaha Agung MPP UPM, Iffa Nadhira Mohd Hazanol; dan Bendahari Kehormat MPP UPM, Chow Heng Yee.
Pemilihan MPP sesi 2018/2019 menyaksikan pelaksanaan pendekatan baharu kerana semuanya dilakukan oleh pelajar yang menjadi ahli jawatankuasa antaranya Sukarelawan Siswa, pemimpin pelajar, Kelab Persatuan, KOR SUKSIS dan KOR SISPA.
Muhammad Izzuddin berkata beliau berharap barisan kepemimpinan dari kolej dan fakulti dapat terus memurnikan nilai kerjasama untuk memelihara kebajikan pelajar
“Bagaimana hebat seseorang pemimpin itu sekali pun, sekiranya tiada yang menyokong dan membantu dari belakang daripada pelbagai sudut, organisasi itu tidak akan ke mana juga,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pelajar dan MPP perlu mempunyai hubungan baik bagi membina keakraban bersama.
“Dengan cara ini pelajar akan merasa lebih dekat dengan MPP, begitu juga dengan barisan pemimpin lain seperti Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) Kolej dan Persatuan Mahasiswa Fakulti (PMF) agar kita sama-sama meningkatkan 'visibility' agar mudah untuk pelajar menyalurkan maklumat atau permasalahan, di samping menjadi ikon atau contoh mahasiswa yang unggul dari UPM,” katanya. - UPM