Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari
SERDANG, 10 April – Kawasan tanah terbiar, tanah kosong ataupun tanah kecil di hadapan rumah dapat diubah menjadi aset yang berharga dengan memanfaatkkanya melalui penanaman tanaman kontan.
Menurut Penolong Pegawai Pertanian, Fakulti Pertanian (FP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Nazrul Anis berkata tanaman kontan merupakan tanaman yang ditanam dalam masa yang singkat iaitu kurang daripada setahun penanamannya termasuklah tempoh penuaian hasil tanaman.
"Kebiasaannya tujuan tanaman kontan ini adalah untuk dijual dan ia merupakan pilihan yang baik bagi individu untuk menjana pendapatan dalam tempoh yang pendek.
"Tanaman kontan seperti tebu, jagung, tembikai dan keledek merupakan antara tanaman yang sesuai untuk dimanfaatkan di tanah yang kosong untuk dijadikan kawasan yang berguna selain meningkatkan kelestarian alam sekitar," katanya.
Jelasnya, tanaman tersebut turut di tanam di Ladang 15 FP UPM kerana ia memainkan peranan yang penting dalam menyokong keperluan pemakanan harian manusia serta sebagai salah satu sumber menjana pendapatan fakulti.
Dalam pada itu, katanya tanaman ini juga membantu memelihara kesuburan tanah dan keseimbangan ekosistem.
"Tanaman kontan mempunyai pertumbuhan yang cepat jadi ia membolehkan petani mendapat pulangan hasil dengan cepat dan menyumbang kepada sumber kewangan mereka.
"Sebagai contoh tanaman jagung mengambil masa 70 hari daripada mula tanam sehingga tuai, keledek tiga bulan, tebu antara lapan hingga sembilan bulan dan tembikai 75 hari," katanya. -UPM