Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir & Putri Nur Suhaina Na’im
SERDANG - Seramai 12 pelajar berumur 7 hingga 12 tahun yang merupakan alumni Tadika Little Caliphs International School Sri Petaling dan Bukit Jalil menyertai program “Future Biologist Caliphs 2019” di Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.
Program itu yang dianjurkan Jabatan Biologi dan Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Fakulti Sains, UPM melibatkan empat pensyarah dan 14 fasilitator terdiri daripada 12 orang pelajar pra-siswazah dan dua pelajar siswazah Jabatan Biologi.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah “Frog Dissection Workshop: Exploring their inner side” dan “Science Technology Engineering Mathematics (STEM) Hands On Activity” yang membabitkan enam modul aktiviti.
Penasihat program dan KMB, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berharap program itu dapat memperkasakan ilmu sains biologi di samping memberi pengalaman serta pengetahuan baharu dalam bidang biologi kepada generasi muda.
“Saya berharap dengan pendedahan yang lebih meluas dan secara terus mengenai sains Biologi ini dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus mengkaji dan mendalami ilmu biologi seawal di peringkat sekolah rendah,” katanya.
Sebagai contoh bagi aktiviti “Frog Dissection”, katanya, selain peserta berpeluang melakukan pembedahan dan mengenali organ dalaman katak, ia turut membuka ruang buat pelajar mengasah kemahiran psikomotor.
Katanya, program itu dapat memupuk kemahiran insaniah melalui aktiviti yang diadakan iaitu perkembangan kemahiran dan kebolehan otot fizikal secara efektif dalam perkembangan sikap dan nilai.
Pengarah program, Muhammad Syafiq Hakimi Affandi Low berkata program itu mampu memberi penekanan dalam menggalakkan minat yang lebih besar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM).
“Saya dapati, melalui aktiviti “Science Technology Engineering Mathematics (STEM) Hands On Activity” peserta berpeluang berfikir secara kreatif dan inovatif. Malah, ia membolehkan peserta merumus dan meningkatkan kemahiran kreativiti dalam merangka, membuat, memodifikasi, atau memperbaiki sesuatu serta memahami dengan lebih baik bagaimana sistem badan manusia berfungsi dan mengaitkan dengan diri mereka,” katanya.
Beliau berkata, STEM mampu memupuk kreativiti serta membolehkan anak-anak muda menjadi inovatif dan mengubah idea baru menjadi ciptaan yang lebih baik serta mengukuhkan sistem inovasi dalam bidang sains.
“Antara nilai yang dapat dipupuk ialah pemahaman yang lebih mendalam, menggalakkan keseronokan serta perkongsian tentang flora dan fauna serta membolehkan peserta berkongsi idea dan pendapat antara satu sama lain. Peserta turut berpeluang merasai dan melaksanakan penyelidikan sains biologi seperti saintis,” katanya.
Katanya, program “Future Biologist Caliphs 2019” mampu menjadi platform bagi memindahkan ilmu biologi kepada generasi baharu serta meningkatkan kemahiran pelajar biologi dan menjadi alternatif untuk memberi pendedahan ilmu pengetahuan biologi seawal di peringkat sekolah rendah.
Progam itu adalah pendekatan untuk pelajar menguasai ilmu sains yang sebenar dan secara meluas, katanya. - UPM