Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
Impian seorang suami ingin menamatkan pengajian serentak bersama isterinya, akhirnya tercapai.
Mohd Shahridwan Ramli, 36, yang menetap di Kelantan berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah Pendidikan Matematik pada hari ini, manakala isterinya Siti Wan Aminah Wan Norudin, 36, bakal menjadi graduat dalam Majlis Konvokesyen UPM ke-48 pada 4 Disember nanti.
Impian untuk melanjutkan pengajian dan graduat bersama menjadi faktor utama mereka melanjutkan pengajian.
“Saya dan isteri menyimpan impian untuk belajar serta menamatkan pengajian bersama-sama,” ujarnya.
Cabaran yang dihadapi oleh beliau sepanjang pengajian bersama ialah kekangan jarak, dimana beliau akan bergilir-gilir dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa dan pelajar.
“Kami bekerja sepenuh masa di Kelantan dan jika perlu untuk ke universiti, di sinilah kami bahagikan masa minggu tersebut.
“Namun, selepas penyelia yakin dengan progress kami, banyak perkara dibincangkan melalui Whatsapp ataupun Zoom,” katanya.
Beliau juga menzahirkan rasa syukur kerana mendapat penyelia yang memahami serta memberi kemudahan melalui perbincangan secara maya, dan kos perjalanan berkurang.
“Sokongan dari keluarga kami juga yang membawa saya ke sini bersama isteri dengan harapan ingin melihat kami berdua mencapai kejayaan,” ujarnya.
Shahridwan merupakan seorang guru di Kolej Matrikulasi Kelantan, berkhidmat mendidik generasi muda dalam bidang Matematik.