SERDANG, 30 November – Para graduan perlu terus menjunjung amanat Universiti Putra Malaysia (UPM),” Berilmu Berbakti dengan jiwa tulus dan ikhlas titah Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Taburkan kembali jasa kepada agama, bangsa dan negara. Ingatlah ilmu dan bakti yang kita semai pada hari ini akan memberikan manfaat kepada diri sendiri dan generasi akan datang,” tegas baginda dalam titah ucapan sesi pertama Majlis Konvokesyen UPM ke-48 Sidang 2 di Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Baginda turut menegaskan kepada para graduan untuk menghargai dan mengingati jasa ibu bapa dan para pendidik di universiti ini.
“Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada graduan UPM dan ingatlah asal usul anda dan dari mana kita bermula dan sematkan ‘Menara Ilmu’ ini dalam ingatan sebagai tempat menimba ilmu yang terbaik,” titah baginda lagi.
Selain itu, Sultan Sharafuddin berharap graduan UPM menjadi pemimpin yang berintegriti dalam organisasi dan masyarakat dalam setiap pekerjaan dan jalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.
“Beta berharap para graduan mengamalkan nilai yang baik ini yang akan mewujudkan masyarakat yang dihormati serta dipandang tinggi oleh dunia luar
Sultan Sharafuddin menzahirkan harapan Blueprint Keterjaminan Makanan yang diperkenalkan UPM akan memacu strategi dan inisiatif terkini bidang pertanian untuk membantu negara mencapai keterjaminan makanan yang mampan.
“Pandangan negatif masyarakat yang melabelkan bidang pertanian sebagai bidang tiada masa depan atau bidang kelas rendah perlu diubah. Masyarakat perlu yakin bahawa bidang pertanian mempunyai potensi dan masa depan yang cerah serta mampu memberi peluang yang lumayan kerana produk asas tani sentiasa mempunyai permintaan yang tinggi,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bidang pertanian juga membantu bidang lain terutama sektor yang berasaskan pertanian untuk berkembang maju seiring dengan kepesatan teknologi.
“Beta mengesyorkan UPM menjalin kerjasama dengan institusi-institusi pertanian lain seperti FELDA, FELCRA, RISDA MARDI, NAFAS dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mencari jalan untuk mempopularkan semula sektor pertanian di negara ini terutama kepada generasi muda,” titah baginda lagi.
Pada Majlis Konvokesyen tahun ini, 6,056 graduan menerima ijazah masing-masing iaitu 608 graduan Ph.D, 1,509 Master, 3,934 Bacelor dan 5 Diploma. Pada istiadat yang sama, Tunku Canselor mengurniakan Anugerah Ijazah Kehormat kepada Profesor Emeritus Academician Tan Sri Dato’ Dr. Syed Jalaludin Syed Salim dan Pengurniaan Gelaran Profesor Emeritus kepada Academician Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris.
Terdahulu, Majlis Konvokesyen ke-48 UPM Sidang 1 telah berlangsung pada 2 November dan 3 November lalu di Dewan Sri Kenyalang UPM Kampus Sarawak (UPMKB) dan seramai 473 graduan telah menerima ijazah dan diploma masing-masing.