Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
SERDANG, 30 Nov – Kehilangan ayah sejak bayi akibat kemalangan memaksa ibunya membesarkan dua anaknya seorang diri hingga anak gadisnya dilatih menjadi tabah sejak kecil lagi.
Graduan Bacelor Kejuruteraan Proses dan Makanan dengan Kepujian,Fakulti Kejuruteraan , Universiti Putra Malaysia (UPM), Humairatul Huda Sudarman, 23, bertekad untuk tidak menyusahkan ibu dan abangnya dengan membuat perkhidmatan pencetakan sejak tahun pertama pengajiannya di Kolej Sepuluh, UPM.
Saya menawarkan perkhidmatan ini untuk menambah pendapatan dan membantu rakan-rakan mencetak bahan pelajaran kerana kedai cetakan di kolej kami agak jauh.
“Mula-mula rasa macam ada ke orang nak guna khidmat percetakan saya di dalam bilik. Namun tanpa disangka-sangka, perkhidmatan yang ditawarkan mendapat sambutan hangat daripada rakan di kolej.
“Tugas ini nampak mudah, cetak sahajakan. Namun, khidmat ini perlu teliti dan kadangkala perlu menghabiskan masa sehingga empat jam di hadapan komputer untuk mencetak bahan pelanggan.
Tambahnya, beliau juga pernah mengalami masalah mesin cetak rosak selama dua bulan sebelum tamat pengajian dan merasakan kawan-kawan memerlukan bantuan darinya.
“Saya terus beli mesin pencetak yang Baharu untuk memudahkan urusan kawan-kawan di kolej.
Gadis yang berasal dari Kota Tinggi, Johor ini juga telah menerima Anugerah Seri Bendahara (Usahawan) dan Anugerah Seri Gemilang daripada Kolej Sepuluh.
Walaupun kini sudah tamat pengajian di UPM , beliau masih dihubungi oleh pelajar-pelajar kolej yang memerlukan perkhidmatan cetakan.
“Saya harap ada pelapis yang boleh meneruskan legasi perkhidmatan ini,” tambahnya.
“Ketabahan ibu dan kejayaan abang saya menjadi inspirasi untuk saya terus melangkah,” ujar Humairatul Huda binti Sudarman, graduan Bacelor Kejuruteraan Proses dan Makanan dengan Kepujian dari Universiti Putra Malaysia (UPM), yang tidak hanya cemerlang dalam akademik tetapi juga aktif dalam bidang keusahawanan.