Oleh: Dr. Hizmawati Madzi
KAJANG – Gabungan lima tenaga pengajar dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Lawatan ke Pusat Jagaan Al-Fikrah di Kampung Sungai Sekamat Batu 12 1/2, Cheras di sini, baru-baru ini.
Program kebajikan kelolaan Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia itu dianjurkan pensyarah gabungan tiga jabatan iaitu Jabatan Multimedia (Dr. Hizmawati Madzi dan Dr. Siti Khadijah Ali), Jabatan Sains Komputer (Dr. Nor Azura Husin dan Dr. Aziah Asmawi) dan Jabatan Rangkaian Komputer (Dr. Normalia Samian).
Objektif utama adalah untuk menyampaikan sumbangan makanan dan wang serta mengadakan sesi ramah mesra bersama penghuni pusat Jagaan Al-Fikrah dengan merangka beberapa aktiviti santai.
Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Mohd Azmi Md Zin berkata kunjungan sebegitu amat dinanti oleh penghuni kerana ia dapat memberi keceriaan kepada mereka.
Beliau berharap agar program dan usaha murni seperti itu dapat diteruskan di masa akan datang.
Pada majlis itu, sebanyak RM704 wang sumbangan orang ramai disampaikan oleh Pengarah program, Dr. Nor Azura Husin.
Program itu secara langsung dapat meningkatkan imej UPM khususnya sebagai universiti yang seimbang khidmatnya daripada segi rohani dan akademik sejajar dengan cogan kata ‘with knowledge we serve’ iaitu berilmu berbakti.
Pada masa yang sama ia dapat membentuk landasan hubungan antara universiti dan komuniti yang terlibat. - UPM