Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
SERDANG, 27 Mei: Pertandingan Universiti Young Motivator Competition (UMAC) Piala Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia, Antara Kolej 2023 ini telah dimenangi oleh Pelajar Bacelor Sains Kimia dengan Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Filda Mahashim.
Filda Mahashim berkata, beliau terkejut apabila dinobatkan sebagai juara bagi pertandingan UMAC kerana sembilan finalis lagi sangat hebat dalam memberi motivasi dan inpirasi kepada mahasiswa UPM.
“Apa yang saya sampaikan pada syarahan hari ini untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada semua mahasiswa UPM agar tidak mudah mengalah dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan ini.
“Dalam kehidupan seseorang itu penuh dengan cabaran dan ujian. Jadi sebagai mahasiswa hadapilah ia dengan doa dan berusahalah untuk mencapai kejayaan ini kerana ianya bukan sesuatu yang mudah.
Katanya, kejayaan hari ini adalah pembakar semangat untuknya bagi menjadi pakar motivasi selepas tamat pengajian di UPM dengan berbekalkan pengalaman yang ada untuk dikongsikan kepada semua mahasiswa.
UMAC dianjurkan kepada mahasiswa UPM bagi mencukil bakat dan pengucapan motivasi dan inspirasi. Selain itu mereka yang dinobatkan sebagai juara akan mewakili UPM ke pertandingan IMAC 2023.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata semua pelajar yang menyertai pertandingan ini sangat berbakat, terserlah dan menonjol dalam memberi inspirasi dan motivasi kepada rakan- rakan seperjuangan.
Johan pertandingan ini membawa pulang RM500 tunai , piala pusingan dan sijil. Naib johan pula membawa pulang RM350 tunai dan sijil. Manakala tempat ketiga membawa pulang RM250 tunai dan juga sijil.-UPM