Oleh: Dr. Siti Suriawati Isa
LANGKAWI, 26 Sept – Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan program amali bersepadu bagi pelajar tahun tiga program Bacelor Sains Taman dan Rekreasi (BSTR) di Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan.
Program itu yang menggabungkan aktiviti Kesedaran dan Pemuliharaan Hutan Batu Kapur 2018 di Pulau Langkawi dan Pendang, Kedah di antara Fakulti Perhutanan, UPM dan Queensland University of Technology (QUT), Australia, mendapat sokongan daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Penarak Nature Center Sdn Bhd.
Turut serta dalam program itu adalah enam buah sekolah menengah terpilih di seluruh negeri Kedah iaitu SMK Ayer Hangat, SMK Dato’ Syed Ahmad, SMK Mahsuri, SMK Merbok, SMK Naka dan SMK Sri Gunong, serta sebuah sekolah rendah iaitu SK Hujung Keton, Pendang.
Ia dirasmikan Pegawai Eksekutif LADA Dato’ Haji Azizan Noordin, 17 September lalu di Auditorium LADA.
Pensyarah Kanan Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan UPM, Dr. Siti Suriawati Isa berkata objektif program adalah untuk memberikan kesedaran mengenai kepentingan hutan batu kapur kepada alam sekitar khususnya di Langkawi yang asas pembentukannya adalah batu kapur yang sedang mengalami kepupusan.
“Isu hutan batu kapur sangat jarang di ketengahkan di mana-mana medium sedangkan kewujudannya penting untuk ekosistem di sesuatu tempat dan tempat pembiakan yang baik untuk burung, rama-rama dan reptilia,” katanya.
Beliau berkata, program kesedaran dan pemuliharaan perlu diperkenalkan kepada pelajar di peringkat sekolah kerana mereka bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.
“Pendedahan awal kepada pelajar sangat penting untuk mendidik mereka celik mengenai penjagaan alam sekitar. Mereka diharapkan dapat menjadi duta kecil terhadap isu-isu yang melibatkan alam sekitar,” katanya.
Program itu dibahagikan kepada empat bahagian, dengan bahagian pertama melibatkan peserta daripada UPM iaitu 46 orang pelajar, dua pensyarah dan empat staf sokongan, serta peserta QUT yang terdiri daripada 15 pelajar dan dua pensyarah. Mereka melakukan penyelidikan secara saintifik dan sains sosial di kawasan batu kapur di bawah pengurusan Penarak Nature Center Sdn Bhd.
Bahagian kedua pula merupakan aktiviti amali bersepadu oleh pelajar BSTR tahun tiga di sekitar Langkawi.
Bahagian ketiga melibatkan pelajar Fakulti Perhutanan dan QUT yang bergabung tenaga menyertai pertandingan kesedaran dan pemuliharaan batu kapur yang turut disertai enam sekolah menengah terpilih di seluruh negeri Kedah.
SMK Merbok diisytiharkan johan pertandingan, SMK Ayer Hangat sebagai naib johan dan SMK Naka di tempat ketiga.
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah turut memberikan kerjasama terhadap program itu dengan menghantar tujuh pegawai daripada Bahagian Teknologi Pendidikan untuk melakukan penggambaran terhadap seluruh program.
Bahagian akhir program itu juga adalah sebahagian daripada inbound program oleh pelajar QUT, Australia yang disertai oleh seramai 88 pelajar pra sekolah sehingga darjah lima daripada SK Hujung Keton, Pendang.
Manakala peserta daripada UPM adalah seramai 53 pelajar manakala daripada QUT, Australia lima pelajar. Program turut mendapat kerjasama PIBG SK Hujung Keton dan KEDA. Pelajar didedahkan mengenai pendidikan alam sekitar dengan menggunakan Bahasa Inggeris. - UPM