Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
Bintulu, 3 Nov – Di saat ramai yang terhimpit dengan cabaran pandemik COVID-19, seorang pemuda dari Kuching, Sarawak, tampil dengan semangat berbeza untuk bangkit melalui pertanian.
Cyril Oneil anak Micheal Musa Onell, graduan dalam bidang Kejuruteraan Teknologi Pertanian, kini tidak hanya melanjutkan pelajaran dalam Bacelor Teknologi Pertanian Pintar di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, tetapi juga mencipta nama sebagai usahawan cili.
Inspirasi itu bermula ketika beliau menyedari bahawa sektor pertanian tetap penting meskipun negara berhadapan dengan krisis ekonomi.
“Saya mengambil inisiatif untuk membuat kajian sendiri mengenai tanaman yang bernilai tinggi iaitu cili.
“Ketika di pasar, saya melihat ramai orang dari pelbagai kaum seperti Dayak, Melayu, India, dan Cina beratur untuk membeli cili. Dari situ, saya melihat potensi yang besar untuk tanaman ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke-48 Sidang 1 di Kampus Bintulu hari ini.
Namun, perjalanan Cyril tidak semudah seperti yang disangka, menurutnya, mengusahakan kebun cili memerlukan pengetahuan yang luas, terutama dalam menangani permasalahan seperti serangan perosak dan penyakit.
“Masalah seperti kekurangan nutrien adalah salah satu cabaran yang saya hadapi pada awalnya,” ujar beliau.
Dalam usaha meningkatkan kemahirannya, Cyril menyertai Program Dayak Chamber of Commerce and Industry (DCCI) dalam kursus fertigasi. Program ini memperkenalkannya kepada teknik moden dalam pertanian dan membuka peluang untuk menguruskan ladangnya dengan lebih baik.
Beliau bercita-cita untuk mengaplikasikan teknologi IoT dan kecerdasan buatan (AI) dalam projek pertaniannya.
“Saya ingin memberi tumpuan kepada IoT untuk mengembangkan sektor pertanian, oleh itu, saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang ini dengan harapan untuk membangunkan projek pertanian pintar,” jelas Cyril.
Dalam mengusahakan tanamannya, Cyril memilih varian Cili Sakata 508 yang popular di Malaysia.
“Permintaan untuk cili amat besar, dan saya melihat potensi besar untuk tanaman ini,” tambahnya.
Cyril kini berhasrat untuk menjadi seorang usahawan pertanian moden yang mampu membekalkan cili berkualiti tinggi untuk keperluan rakyat Malaysia. Baginya, disiplin dan konsistensi adalah nilai utama dalam dunia perniagaan.
“Sikap kurang motivasi untuk bekerja tidak akan membawa kepada kejayaan. Disiplin adalah kunci,” katanya mengakhiri temu bual.