Oleh: Nurul Athira Mohd Affandi
SERDANG, 6 Mac - Chapter Alumni YOSH Universiti Putra Malaysia (UPM) mengedarkan makanan percuma kepada pelajar melalui program Rezqi Jumaat, hari ini.
Program itu diadakan di perhentian bas Fakulti Sains, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, serta Masjid UPM.
Pengarah program Rezqi Jumaat 1.0, Nor Iman Ilyani berkata, program itu mendapat tajaan daripada Food For Hunger Organization (FFH) dan alumni UPM.
“Setiap dua minggu sekali Chapter Alumni YOSH UPM akan menyediakan antara 100 dan 200 pek makanan. Kami mula mengedarkan makanan pada jam 11 pagi,” katanya.
Pada program hari ini, makanan habis diedarkan dalam masa satu jam. Lapan sukarelawan bersama-sama menjayakan program itu.
Pasukan pertama mengedarkan 100 pek Nasi Lemak Rezqi Jumaat di Perhentian Bas Fakulti Sains serta Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, manakala pasukan kedua mengedarkan 100 pek Nasi Kukus Rezqi Jumaat di Masjid UPM selepas waktu Solat Jumaat.
Pelajar Bachelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua), Fakulti Pengajian Pendidikan, Muhammad Radhi Amir berkata program itu baik sebagai platform untuk melatih sukarelawan khususnya pelajar dalam menerapkan nilai-nilai seperti memupuk sifat besederhana dalam kehidupan serta menjadikan seorang suka memberi dan bersedekah.
Penuntut Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Nur Syafiqah Zulkifli, bersyukur dan berterima kasih kepada FFH dan Chapter Alumni YOSH UPM yang mengambil berat tentang keadaan pelajar.
“Saya harap penuntut UPM menghargai dan mendapat manfaat daripada usaha murni ini. Program seperti ini perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya lebih ramai penuntut mendapat manfaat daripadanya,” katanya - UPM