SERDANG, 12 Okt - Community Digital (M) Sdn Bhd (CDM) menawarkan usahasama bersama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyalurkan sumbangan tunai kepada golongan B40.
Ia disampaikan melalui surat tawaran usahasama yang dipersetujui bersama WAZAN dan UPM kepada Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman ketika Kunjungan Hormat Delegasi CDM di Pejabat Naib Canselor UPM, Khamis lalu.
Antara intipati sesi kunjungan hormat itu ialah kesiapsediaan CDM memberi sumbangan dalam bentuk keuntungan pembelian barangan yang dijual oleh CDM kepada WAZAN.
Prof. Dr. Mohd Roslan berkata UPM amat berbesar hati dan mengalu-alukan usahasama yang dijalin yang akan memberi manfaat kepada pelajar UPM yang memerlukan bantuan.
“Usahasama ini juga dapat memberi peluang kepada usahawan dalam kalangan pelajar UPM dan meningkatkan marketibility pelajar dalam bidang keusahawanan,” katanya.
CDM adalah syarikat yang menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan melalui jaringan komuniti dengan sistem dan teknologi terkini. Usahasama itu dilihat untuk memberi galakan kepada pengguna produk keluaran CDM khususnya usahawan komuniti yang bernaung di bawah CDM.
Pengasas CDM, Rusdie Ganning berkata CDM akan menyumbang kepada WAZAN UPM untuk membantu mereka yang memerlukan hasil daripada jualan produknya.
“Kami akan memberikan sumbangan sebanyak RM3.50 bagi setiap satu produk Kopi Gen2, White Coffee, Gen2 Q10, Trace Mineral, Magnesium & Jus Delima yang terjual, iaitu RM1 oleh pengguna dan RM2.50 sumbangan syarikat dan usahawan yang menjual produk,” katanya.
Pengerusi CDM, Dato Malek Noor pula berkata, CDM kini dalam usaha menggalakkan masyarakat terutamanya mereka yang berada dalam komuniti digital untuk menyumbang melalui pembelian produk keluarannya, yang membuka peluang mereka untuk bersedekah.
Katanya, tempoh usahasama CDM dan WAZAN UPM itu adalah selama tiga tahun bermula dari tarikh surat terimaan tawaran ditandatangani.
Pengarah WAZAN UPM, Dr. Razali Othman berkata, jumlah sumbangan yang terkumpul akan disalurkan kepada Tabung UPM Prihatin @WAZAN untuk membantu golongan B40 yang memerlukan.
Turut hadir pada sesi kunjungan itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu; Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM, Prof. Dr. Daud Ahmad Israf Ali; serta pegawai WAZAN, Nuruliman Ibrahim dan Mohd Rizal Helmi A Razak.
Juga hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif CDM, Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi; Pengarah Pembangunan Perniagaan CDM, Rumawi Kasolan Nizam, dan Admin CDM, Suzana Othman.
CDM, WAZAN dan UPM akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa terdekat. - UPM