Oleh: Dr. Cheng Kai Wah
SERDANG, Ogos 20 – Sekatan pergerakan berikutan pandemik COVID-19 telah banyak menghentikan penyelidikan pelajar pacsasiswazah dan ramai antara mereka tertanya-tanya masihkah ada cara untuk menamatkan pengajian dalam tempoh lazim (GOT) bagi pengajian mereka.
Sebuah webinar yang dihadiri seramai 77 orang pelajar pascasiswazah yang telah dianjurkan oleh Pejabat Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia (FEM) telah diadakan baru-baru ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi pelajar pascasiswazah dan juga menjelaskan kepentingan dan strategi untuk mencapai GOT.
Ahli panel yang terlibat terdiri daripada Dekan Fakulti Ekologi Manusia (FEM) UPM, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, Pembantu Pengajar, Dr. Cheng Kai Wah dan dikendalikan oleh Pensyarah Kanan FEM Dr. Ahmad Faudzi Musib sebagai moderator.
Kedua-dua panelis berkongsi pengalaman dan sudut pandang mereka dengan peserta yang hadir agar peserta dapat menikmati perjalanan penyelidikan mereka secara keseluruhan.
Menurut Prof. Dr. Mohamad Fazli, cabaran yang biasa dihadapi oleh pelajar pascasiswazah adalah seperti masalah kewangan, jangka masa menunggu instrumen penyelidikan yang panjang, kakitangan yang tidak membantu, kesukaran untuk menerbitkan jurnal berimpak tinggi, kekurangan motivasi diri, masalah kesihatan, dan masalah kediaman semasa pengajian.
"Saya percaya bahawa hidup ini membosankan jika tidak ada cabaran. Walau bagaimanapun, pelajar mesti menyedari teknik untuk mengawal tekanan.
"Pelajar pascasiswazah juga harus peka terhadap syarat bergraduat dan belajar untuk mengurus masa mereka dengan berkesan agar dapat menjalani gaya hidup sihat dan keseimbangan kehidupan bekerja," katanya.
Sementara itu, Dr. Cheng menekankan kepentingan pelajar pascasiswazah menghadiri beberapa persidangan antarabangsa untuk membentang penyelidikan mereka kepada para penyelidik dari pelbagai negara. Hal ini kerana pelajar dapat menerima komentar dari para sarjana dengan latar belakang penyelidikan yang pelbagai.
Katanya, tempoh pengajian bagi pelajar Sarjana Sains (MSc) adalah antara satu hingga tiga tahun. Menamatkan Pengajian Dalam Tempoh Lazim (GOT) bagi Sarjana Sains(MSc) adalah selama tiga semester.
Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi mengesyorkan bahawa tempoh pengajian Doktor Falsafah (PhD) adalah antara dua hingga lima tahun. Menamatkan Pengajian Dalam Tempoh Lazim (GOT) untuk pelajar PhD adalah selama enam semester.
Dr. Cheng memberikan panduan kepada peserta mengenai perkara yang perlu mereka lakukan pada setiap semester untuk berjuang mendapatkan GOT dan berkongsi garis panduan tesisnya agar peserta terinspirasi untuk membina draf tesis mereka.
"Untuk lulus Viva Voce, anda mesti perlu mengurus diri sendiri dan jawatankuasa penyeliaan. Resepi terbaik untuk pencapaian PhD adalah mempunyai hubungan baik dengan penyelia anda.
"Anda harus pamerkan tanggapan yang baik kepada penyelia bahawa anda serius terhadap sesuatu tugas. Apabila membincangkan sesuatu dengan penyelia, anda juga perlu mencatat kesemua perkara penting dan ucapkan "Terima Kasih" kepada mereka selepas tamat perjumpaan atau perbincangan, "katanya.
Dia juga menasihati pelajar agar tidak menunda-nunda.
Dr. Cheng menyarankan pelajar agar berdisiplin, membuat jadual waktu yang praktikal dan dapat dicapai, belajar untuk mengatakan "Tidak" pada perjumpaan yang tidak perlu, meletakkan telefon dalam mod senyap untuk menumpukan perhatian kepada tugas, mengenal pasti waktu produktif, menjadikan menulis dan membaca sebagai kebiasaan dan menghindari pekerjaan sepenuh masa sebelum habis pengajian.
Dia mengingatkan kepada para peserta untuk menyedari masa beristirahat dari jadual yang sibuk demi menjaga kesihatan mental dan fizikal, terutama dalam tempoh pandemik COVID-19. - UPM