Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
SERDANG, 11 Jun - Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya menganjurkan Program Bengkel Seni Tari Melayu 2023 (SERI) yang telah menjadi platform kepada peserta memartabatkan seni tari Melayu khasnya.
SERI yang bertemakan Semarak Tari Sepanjang Zaman ini telah menghimpunkan 150 penggemar serta penggiat seni tari tanpa mengira bangsa untuk bersama-sama berkongsi ilmu dan memelihara warisan seni tradisi.
Fasilitator Kursus Seni Tari Melayu QKB2101 Kumpulan 2, Firdaus Ahmad Sukaimi berkata, objektif program ini adalah untuk memupuk pelapis seni tari Melayu bagi mengekalkan serta memelihara warisan seni tradisi kepada generasi akan datang.
Katanya, perkongsian ilmu tari Melayu diketuai oleh rakan kerjasama utama iaitu Koreografer dan pemilik artistik Nyala Dance Theatre, Khairulazhar Mohtar.
"Kebanyakan peserta merupakan amatur dalam seni tari tetapi di akhir program mereka berjaya untuk melakukan persembahan dengan baik walaupun hanya dua hari sahaja bengkel ini diadakan bermula semalam hingga hari ini.
"Saya amat teruja melihat peserta cilik berusia 10 tahun yang begitu semangat menyertai bengkel ini bahkan terdapat juga warga emas yang berbangsa Cina turut serta kerana minat mereka untuk mempelajari seni tarian melayu khasnya," katanya ketika di temui selepas program di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.
Sebanyak empat slot telah dijalankan sepanjang bengkel ini berlangsung iaitu bengkel asas tari zapin, tari joget, tari inang dan pendedahan koreografi melayu mengikut kumpulan.
Dalam pada itu, bengkel ini juga memberi cabaran kepada para peserta untuk mempersembahkan tarian secara berkumpulan sewaktu majlis penutup dan mereka diberikan tempoh yang sangat singkat untuk berlatih iaitu sekitar satu jam tiga puluh minit sebelum majlis penutup diadakan.
Bengkel SERI ini dikendalikan oleh Kursus Kokurikulum Berkredit Seni Tari Melayu QKB2101 Kumpulan 2 UPM dan dibantu oleh Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Selangor (PERMAS), UPM dan PKKSSAAS, UPM.
Pengarah program, Ellysa Farhana Ozaidi, pelajar tahun pertama Bacelor Sains Perhutanan berkata beliau amat berpuas hati apabila berjaya mencapai objektif program iaitu untuk melestarikan budaya seni tari warisan Melayu setelah melihat peserta begitu bersungguh menyertai bengkel ini.
Sementara itu, peserta warga emas, Koo Soo Ming, 64, berkata minatnya yang mendalam untuk mempelajari tarian zapin membuatkannya begitu bersemangat dan teruja untuk menyertai bengkel ini.
"Joget dan inang memang sudah saya pelajari asasnya. Maka, saya ingin mempelajari ilmu tarian zapin dan berhasrat untuk mengajar kawan-kawan berbangsa Cina saya yang lain.
"Saya juga membawa beberapa rakan yang lain untuk bergaul sekali bersama golongan muda untuk mempelajari kesenian budaya Melayu," katanya.
Turut hadir Timbalan Pengarah PKPP UPM, Dr Hizmawati Madzin. -UPM