Oleh Syasya Nur Sabiha Shahrudin
SERDANG, 2 Disember - Syaqiera Mashayikh, 24, tersenyum dengan puas apabila berjaya menghabiskan pengajiannya dalam Bacelor Komunikasi dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Syaqiera merupakan atlet memanah yang telah mewakili negara ke Sukan Olimpik Paris 2024. Beliau berkongsi bahawa bukan senang untuk menjunjung tanggungjawab sebagai seorang atlet negara dan sebagai seorang pelajar akhir tahun.
“Menjadi atlet yang mewakili negara sambil menyiapkan final year project (FYP) sangat mencabar kerana saya merasai tekanan daripada latihan memanah dan juga pelajaran.
“Saya tidak ingin mengabaikan pelajaran saya demi sukan, itu tidak selari dengan prinsip saya. Kalau saya memulakan sesuatu, saya ingin lakukannya betul-betul.
“Alhamdulillah, jurulatih saya banyak membantu dari segi membahagikan masa antara latihan memanah dan pelajaran. Jurulatih memang suruh saya pergi kelas.”
Atlet yang berasal dari Segamat itu berkata beliau mampu menempuh segala cabaran dengan tabah kerana sokongan daripada keluarga, pelatih, rakan-rakan serta pihak UPM.
“Keluarga dan rakan-rakan saya banyak memberi sokongan dan bantuan ketika final year kerana mereka tahu betapa susahnya untuk membahagikan masa antara latihan Sukan Olimpik dan mengejar due date FYP.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada pensyarah-pensyarah yang sangat memahami jadual latihan saya dan sanggup memberi pertolongan jika saya perlukan.”
Syaqiera menasihati atlet-atlet yang sedang belajar sambil menjalani latihan sukan untuk tidak berputus asa kerana ilmu dan pengalaman yang diperolehi akan menjaminkan masa hadapan.