Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 10 Jan – Pertanian moden kini melangkah ke era baharu yang dipacu oleh teknologi canggih, membuka ruang inovasi tanpa batasan. Di sebalik kejayaan ini, pegawai penyelidik universiti memainkan peranan penting dalam memastikan penyelidikan berimpak tinggi untuk terus menyokong agenda pertanian negara.
Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zulkarami Berahim, yang berasal dari FELDA Jelai Gemas, Negeri Sembilan, merupakan contoh terbaik bagaimana anak FELDA mampu memacu perubahan besar dalam sektor pertanian.
Beliau yang membesar dalam persekitaran tanaman getah dan kebun buah-buahan milik keluarganya, bidang pertanian memang tidak asing buat beliau. Minat dalam bidang pertanian beliau teruskan dari bekerja dalam bidang agro pertanian di sektor swasta ke universiti ini.
Minat ini terus berkembang sejak mula bertugas di UPM pada tahun 2008 sehingga beliau mendalami penyelidikan dalam tanaman padi bersama Ketua Projek, Prof. Dr. Mohd Razi Ismail melalui geran penyelidikan jangka panjang (LRGS) Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Pengalaman saya di FELDA membentuk asas kepada minat dalam pertanian. Kini, saya menumpukan kepada kajian siswazah dan penyelidikan tanaman makanan yang penting untuk masyarakat,” katanya.
Salah satu pencapaian besar Dr. Zulkarami ialah penghasilan varieti padi baharu yang dikenali sebagai benih Climate Ready (CR), yang rintang kemarau dan berkualiti tinggi. Pada tahun lalu, benih ini berjaya dituai secara besar-besaran di bendang Kampung Muring, Kelantan, dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Kemubu (KADA).
“Kajian asas varieti ini bermula pada tahun 2013 di UPM dan makmal Lancaster Environment Centre di Universiti Lancaster, England. Projek ini adalah langkah penting dalam memenuhi keperluan makanan ruji negara,” jelas beliau.
Menurut Dr. Zulkarami, transformasi pertanian dengan teknologi moden amat penting untuk menarik minat golongan muda ke bidang ini. Namun, cabaran utama adalah memastikan teknologi tersebut praktikal dan mudah digunakan oleh petani.
“Dalam kajian LRGS, kami memilih teknologi yang mampu diaplikasikan dengan kos yang rendah. Penggunaan teknologi internet benda (IoT) boleh diperluaskan lagi untuk meningkatkan hasil padi dan memudahkan kerja petani,” katanya.
Beliau turut melihat potensi penanaman padi secara bertingkat di Semenanjung Malaysia sebagai langkah inovatif, namun kaedah ini memerlukan kajian mendalam serta memerlukan teknologi sokongan yang sesuai.
“Buat masa ini, negara masih menekankan kepada padi berpotensi hasil tinggi seperti MR297 untuk memenuhi kuantiti padi untuk mencapai Kecukupan Makanan Negara (SSL) dan setelah kuantiti mencukupi baru kita fokus kepada kualiti padi,” katanya.
Dr. Zulkarami percaya bahawa kajian secara penyelidikan turut memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar negara melalui data penyelidikan yang kukuh yang membantu pihak berkaitan untuk menggubal dasar lebih efektif.
“Contohnya, isu padi angin di Perak tahun lalu berjaya diselesaikan melalui kolaborasi antara penyelidik dan petani, kami juga turun ke lapangan untuk membantu petani mengatasi masalah,” katanya.
Bagi Dr. Zulkarami, penyelidikan adalah satu amanah yang memerlukan dedikasi tinggi serta memerlukan sokongan terutama dalam hal peruntukan kewangan.
“Pendidikan dan penyelidikan adalah pelaburan besar untuk pembangunan modal insan. Dengan peruntukan yang mencukupi, penyelidikan boleh memberi impak besar kepada masyarakat,” tambahnya.
Melalui semangat dan dedikasi beliau, Dr. Zulkarami membuktikan bahawa anak FELDA bukan sahaja mampu bersaing di peringkat tertinggi, malah menjadi pemacu utama dalam transformasi sektor pertanian negara.