SERDANG, 31 Jan – 30 pelajar pascasiswazah Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai syarahan jemputan bertajuk Pengenalan SmartPLS (Introduction to SmartPLS) untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam penggunaan perisian SmartPLS.
Penyampai syarahan yang juga Pensyarah Kanan, INTI International University and Colleges, Dr. Cheng Kai Wah berkata, syarahan ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan, iaitu SDG 4: Pendidikan Berkualiti.
“Pengenalan SmartPLS adalah penting untuk membantu mahasiswa melakukan analisis data penyelidikan dengan lebih mudah, cepat dan efisien agar dapat menghasilkan penulisan tesis dan penerbitan jurnal yang bermutu tinggi, khususnya pada peringkat Doktor Falsafah.
“Program ini diharapkan dapat memberikan gambaran yang lebih jelas kepada mahasiswa serta meningkatkan kefahaman dan motivasi kepada mereka untuk menjalankan analisis penyelidikan dengan menggunakan perisian SmartPLS,” katanya.
Dalam pada itu, program ini dianjurkan bersempena dengan pelaksanaan kursus Sosial Statistik (FEM5002) yang dikendalikan oleh Pegawai Akademik, Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, FEM, UPM, Prof. Madya Dr. Syuhaily Osman.