Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 29 Ogos – 126 atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) akan memberikan cabaran sengit kepada peserta yang menyertai acara dalam Sukan Badan Berkanun Malaysia (SUKANUN) 2023 di UiTM Perlis bermula 3 hingga 9 September 2023 ini.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata beliau yakin bahawa atlet staf UPM akan membawa cabaran ini dan bersedia menggalas amanah yang disandarkan oleh seluruh warga UPM.
Katanya, UPM akan menyertai 10 acara yang dipertandingkan dan ingin mempertahankan emas bagi acara Petanque Wanita.
"10 acara ini melibatkan Bola Sepak 9s, Futsal Wanita, Bola Tampar Wanita, Sepak Takraw Regu, Tenpin Boling Wanita, Petanque Lelaki, Petanque Wanita, Hoki Dewan, Ping Pong Berpasukan dan Basikal Criterium.
"Saya meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat UPM melakar kejutan dan meraih kegemilangan dalam kejohanan ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKANUN 2023 UPM di Dewan Taklimat Serdang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menitik beratkan persediaan mental dan fizikal yang jitu dalam kalangan atlet UPM bagi memastikan institusi ini menjadi sebagai salah satu pasukan yang digeruni dalam setiap sukan.
“Peluang yang terbuka di hadapan ini perlu dimanfaatkan untuk membuktikan bahawa atlet staf UPM adalah atlet staf universiti yang juga boleh mewarnai landskap sukan negara,” katanya. -UPM